EIP 2018 REFLECTIONS: KAK ADDA
"Secara peribadinya, program bersama para pelajar ini merupakan satu program yang telah membuka peluang kepada para mahasiswa untuk menghapuskan prejudis dan sekaligus menambahkan minat kepada para pelajar terhadap subjek Fizik."
Pada 13-15 April 2018, kumpulan “The Next Einstein” telah mengadakan satu projek “Empowering Interest in Physics” untuk Jalinan Masyarakat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur yang terletak di Kuala Lumpur. Peserta program ini kebanyakkannya terdiri daripada pelajar tingkatan 4 yang menyertainya secara sukarela. Pertama sekali saya ingin memanjat kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana saya telah diberi peluang untuk melibatkan diri secara lansung dalam menjayakan Projek Jalinan Masyarakat ini. Saya telah diberikan tanggungjawab oleh pengarah projek untuk menjadi ahli jawatankuasa bagi unit Multimedia dan Teknikal. Alhamdulillah setelah mendapat sedikit bimbingan daripada Dr. Azzuliani yang merupakan penasihat bagi subjek Jalinan Masyarakat, saya dan beberapa rakan yang terlibat dalam unit ini dapat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul sepanjang mengendalikan program.
Melalui program ini, saya mendapati terdapat beberapa perkara yang boleh dianggap sebagai faktor kekuatan dalam program Jalinan Masyarakat ini. Pertama, dari awal proses pemilihan dan penubuhan jawatankuasa, kemudian kepada pembahagian tugasan, mesyuarat dan hingga ke pelaksanaan aktiviti dan juga pada hari terakhir program ini kami sentiasa bekerjasama. Semua jawatankuasa saling bantu-membantu dalam usaha menjadikan program ini berjaya dilaksanakan dan mencapai objektifnya.
Kekuatan kedua program ini dapat dilihat pada faktor pengalaman sedia ada kami dalam merancang sesebuah program. Ramai diantara ahli kumpulan kami yang sudah mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program-program seumpama ini sebelum ini, jadi kebanyakan tugas menjadi mudah. Sebagai contoh, banyak urusan-urusan diplomasi, surat menyurat dan proses mendapatkan kelulusan daripada pihak pentadbiran dapat dipercepatkan kerana kami telah mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyempurnakan tugas tersebut. Dalam program ini, saya adalah di antara mereka yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa Multimedia dan Teknikal, saya diberi tugas untuk menyunting video pengenalan projek dan video montaj. Kepercayaan ini telah memberikan saya satu pengalaman berharga yang tidak dapat saya lupakan.
Kekuatan program ini yang seterusnya dapat dilihat daripada segi tingkahlaku pelajar SM Teknik KL itu sendiri. Ini kerana sikap mereka yang peramah dan sentiasa bersemangat dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama kami sepanjang program ini berlangsung. Selain itu, mereka juga banyak memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh dalam setiap aktiviti. Malahan penyediaan tempat dan kawasan untuk aktiviti serta alatan juga banyak membantu dalam menjayakan program ini. Contohnya, pihak sekolah membenarkan kami menggunakan dua makmal Fizik untuk slot “Physics Showtime” walaupun pada hujung minggu. Yang paling mengujakan kami adalah, pelajar-pelajar yang menyertai program secara sukarela dan tanpa paksaan guru.
Secara peribadinya program bersama para pelajar ini merupakan satu program yang telah membuka peluang kepada para mahasiswa untuk menghapuskan prejudis dan sekaligus menambahkan minat kepada para pelajar terhadap subjek Fizik. Dalam masa yang sama, mahasiswa dan mahasiswi dapat melatih kemahiran sofskil dan komunikasi dengan cara berinteraksi dan menyampaikan maklumat kepada para pelajar.
Harapan saya, agar saya masih lagi berpeluang menyertai program yang sangat bermanfaat seperti ini. Besar impaknya, bukan hanya kepada masyarakat, malah kepada diri saya sendiri.
Kesimpulannya, hasil daripada pemerhatian dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh tiga hari dua malam ini, saya menyedari betapa perlunya mempunyai perancangan yang rapi bermula dari peringkat penubuhan jawatankuasa sehinggalah kepada mesyuarat post-mortem supaya program yang dilaksanakan berjaya dan mampu memberi kesan kepada setiap ahli. Program kemasyarakatan ini sewajarnya dijalankan oleh para mahasiswa bagi meningkatkan lagi nilai keilmuan dalam diri mereka sekaligus melahirkan masyarakat yang mempunyai intipati keagamaan dan keilmuan yang tinggi.